Thursday 1 December 2011

Satu Malaysia

1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara evolusi.

          Ia adalah kesinambungan konsep daripada dua kepimpinan terdahulu dalam membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

          Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang. Tiada perbezaan antara bandar, luar bandar dan kumpulan etnik sekiranya mereka mempunyai potensi berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik. Kerajaan menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan penghasilan yang sama. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar.

          Secara umumnya, gagasan Satu Malaysia dilihat sebagai tepat pada masanya dan berada pada landasan yang betul untuk mempersiapkan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa yang maju seterusnya mencapai wawasan 2020. Satu Malaysia bertujuan untuk menyatupadukan rakyat – paling penting bagi memastikan tiada rakyat di negara ini terpinggir daripada arus pembangunan. Malah setiap rakyat sama ada daripada kelompok kecil atau besar tidak akan dipinggirkan sebaliknya diberikan bantuan sama rata.

           Gagasan ini juga bertujuan menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai sebuah negara yang kuat dan maju tetapi juga menjadikan rakyat yang berbilang kaum dan agama ini hidup bersatu padu sebagai satu bangsa. Melalui gagasan Satu Malaysia ini, rakyat pelbagai kaum, agama dan latar hidup disatukan bagi melahirkan satu bangsa dengan satu impian sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa.

          Sebagai rakyat Malaysia yang menyokong usaha membawa negara ini menjadi sebuah negara maju, kuat, bersatu serta dihormati, gagasan Satu Malaysia ini wajar disokong dan didokong oleh semua pihak. Walaupun ada pihak yang mempertikaikan dan mentafsirkan gagasan ini sebagai bakal menghakis hak dan kesitimewaan orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera lainnya, pandangan cetek begini perlu disangkal. Apa yang jelas, gagasan Satu Malaysia ini masih berlandaskan atau berpaksikan kepada Perlembagaan dengan memastikan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputera akan terus dipelihara dan dalam masa yang sama hak-hak kaum lain akan terus dibela dan dihormati.

No comments:

Post a Comment